Monday, May 4, 2009

Alang-alang mempedo'oh

Pagi itu, cuaca amat sejuk sekali. Semua air dalam batang paip di rumahku menjadi beku. Ayah menyuruh aku pergi mandi ke telaga di rumah jiran yang terletak kira-kira 8 km dari rumahku. Aku berjalan dengan pantas, empat belas minit kemudian, aku sudah terpacak di tepi telaga itu. malangnya, cuaca yang sejuk membuatkan air di dalam telaga itu turut menjadi beku. Aku mengambil keputusan untuk tidak mandi pada pagi itu lalu aku pulang semula ke rumah. Ibuku ketika itu sedang sibuk menyiapkan sarapan. Api dari dapur gas yang digunakan oleh ibuku juga menjadi beku kerana cuaca yang sejuk itu.

Selesai sahaja menyediakan sarapan, ibu menghidangkannya kepada kami. Cuaca yang terlalu sejuk membuatkan kami tidak selesa lalu ayah mencadangkan supaya kami bersarapan di dalam unggun api. Kami mengikut saja saranan ayah lalu buat kesekian kalinya bersarapanlah keluarga kami dalam unggun api untuk mengatasi kesejukan yang melampau itu. Ayah yang kurang sihat hanya sempat menghabiskan 38 ketul goreng pisang yang setiap satunya sepanjang setengah meter sebelum terlentang kekenyangan.


Selesai bersarapan, ibu mendesak aku agar menemaninya ke kedai. Aku malas lalu ibu mulai naik angin. Beliau meluru ke dapur dan keluar semua dengan parang di tangannya. Tanpa aku duga, ibu menikamku bertubi-tubi. Mulanya aku biarkan sahaja...tapi bila merasakan aku mulai hendak pitam akibat kekurangan darah, lalu aku pun bersetuju menemani ibuku ke kedai. Ibu hanya tersenyum lalu menikamkan pisau yang digenggamnya ke dada ayah yang sedang tidur. Simpan di situ katanya!


Kami bergerak seiringan menuju ke kedai. Perjalanan yang jauh membuatkan ibu mulai bosan lalu menyanyikan lagu-lagu kompang yang diketahuinya. Suaranya bertingkah dengan suara katak di parit berdekatan yang menyangka ibu mahu berbual dengannya. Aku biarkan sahaja ibu terus menyanyi. Dengan tidak semena-mena, lalu lah sebuah helikopter yang dipandu laju lalu kipasnya telah melibas belakang ibu. Ibu tercampak ke dalam gaung lalu menjerit " aduh!". Aku berlari mendapatkan ibu. Perlahan-lahan kulihat mata ibuku mulai menjadi hijau berbelang-belang. Aku mulai bimbangkan keadaan ibu. Lantas aku berpaling untuk mencari daun kapal terbang bagi merawat luka ibuku dilibas kipas helikopter tadi.


Sebaik sahaja aku menjumpai daun tersebut, aku berpaling semula mendapatkan ibu. Aku terkejut teramat sangat. Mata ibu yang hijau berbelang tadi rupanya menandakan dia begitu marah dengan apa yang terjadi padanya lalu menukarkan dirinya menjadi Incredible Hulk. Ibu mulai menjadi gagah..tiada apa yang selamat dari dilibasnya. Dengan tidak semena-mena, ibu melompat dari gaung lalu mengejar helikopter yang melanggarnya tadi. Pemandu helikopter itu terkejut lalu menukarkan dirinya menjadi kereta kecil. Rupa-rupanya helikopter itu adalah Transformer. Lalu mereka pun bertempur di udara. Asap kulihat berkepul-kepul naik ke udara menandakan pertempuran belum reda. Tiba-tiba dari jauh aku lihat debu-debu berterbangan ke udara.. Rupa-rupanya ayahku yang berlari hendak memberikan bantuan, kufikirkan unta!


Sebaik sampai ke medan pertempuran, ayah telah menukar dirinya kepada sejenis makhluk raksasa yang bernama Gadabon. Ibu yang terkejut telah menukarkan dirinya menjadi Ultraman Kosmos dan memfire ayah sehingga terbelah dua. Aku menjerit memberitahu ibu bahawa itu ayah lalu ibu turut memfire aku.


Ps : Ada lagi sape-sape nak lawan meraban? Moh la kalau daya...
Justify Full

2 comments:

  1. Kawan serender!!! Awok punya pedo'oh dah sampai tahap maksima... Osman kalau baca, mesti terlentang!

    ReplyDelete
  2. Osman bukan takat terlentang je, terus bertukar jadi Spender Man. ( pedo'doh lagi )

    ReplyDelete